Mutu Pengadil: Nak Kata FAM Teruk, Piala Dunia Pun Lebih Kurang
SEJAK dari perlawanan pembukaan kejohanan Piala Dunia 2014 melibatkan pasukan tuan rumah Brazil menentang Croatia, isu berkaitan mutu pengadilan oleh Yuichi Nishimura dari Jepun ini sudah menjadi perdebatan hangat dikalangan peminat sukan. Antaranya termasuklah keputusan Nishimura memberikan sepakan penalti kepada Brazil yang kemudiannya disudahkan oleh Neymar Jr.
Ramai kata keputusan itu tidak patut kerana pemain Brazil, Fred dilihat sengaja merebahkan badan.
Isu ini tidak tamat dalam perlawanan tersebut sahaja bila dua keputusan pengadil dari Jerman, Felix Brych dikatakan memberi kesan kepada pasukan Uruguay dalam perlawanan menentang Costa Rica dimana Uruguay tewas 1-3. Selain itu, ada lagi beberapa tindakan pengadil yang menimbulkan tanda tanya dalam kejohanan ini tapi penulis tidak berminat untuk mengulas satu persatu.
Apa yang cuba penulis sampaikan ialah, semua ini menunjukkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidak bersendirian dalam menghadapi ketidapuasan hati peminat ke atas banyak keputusan dibuat pengadil dalam kejohanan bolasepak tempatan yang dianjurkannya.
Ini Piala Dunia, tingkat teratas dalam mana-mana pertandingan bolasepak, pun tidak ada jaminan kesilapan tidak akan berlaku, apa lagi nak dibandingkan dengan mutu pengadil tempatan yang rata-rata hanya menjadikan kerjaya itu sebagai pendapatan sampingan, bukan secara professional.
Walaupun sejak Piala Dunia 1998 di Perancis, pengadil dan pembantunya sudah mula mengguna pakai radio untuk memudah komunikasi antara mereka selain beberapa peningkatan lain untuk membantu pengadil, tapi masih ramai peminat yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan secara keseluruhannya.
Apatah lagi perkembangan teknologi semasa yang membolehkan peminat menilai semula keputusan pengadil dengan lebih tepat menggunakan teknik ulang tayang yang canggih, menjadikan kerjaya pengadil lebih sukar kerana mereka lebih mudah dinilai di dalam dan di luar padang.
Sebetulnya dalam hal ini peminat perlu menerima hakikat bahawa pengadil menjalankan tugas mereka secara manual sepenuhnya. Bermaksud, pedulilah apa pun yang dilihat dalam rakaman semula, pengadil harus membuat keputusan berdasarkan pemerhatiannya pada masa insiden berlaku di atas padang.
Kalau dari tempat dia berada, kelihatan bola terkena tangan, terkena tanganlah walaupun rakaman semula menunjukkan sebaliknya.
Hakikat inilah yang peminat bolasepak perlu terima dan seterusnya berhenti menyalahkan FAM setiap kali mutu pengadilan dipersoalkan. Tapi bukanlah juga bermaksud FAM boleh lepas tangan sepenuhnya.
Sebaiknya, FAM perlu menggabungkan teknologi dan peranan hakiki pengadil untuk membuat satu sistem yang boleh dijadikan penunjuk arah untuk menentukan kedudukan seseorang pengadil itu.
Contohnya, kerja hakiki pengadil itu jangan diganggu, tapi kesilapan mereka yang dikesan melalui teknik rakaman semula yang canggih ini dijadikan penanda aras untuk menentukan pengadil mana yang lebih baik berbanding pengadil yang lain. Cara ini berkesan dalam membuat keputusan untuk memilih pengadil bagi perlawanan penting, seperti perlawanan akhir Piala Malaysia contohnya.
Sistem sama juga boleh digunakan untuk menentukan pengadil mana yang layak mendapat bayaran lebih tinggi berbanding pengadil lain. Kurang silap, lebih banyaklah bayarannya, banyak silap, lebih kurang, dan seterusnya.
Dengan cara itu, setiap pengadil sedar bahawa kerja mereka boleh diadili dan akan berusaha melakukan terbaik untuk mengurangkan kesilapan, dalam masa yang sama tidak menganggu tugas hakiki mengawal pemain agar mengikut peraturan bolasepak yang telah ditetapkan.

No comments:
Post a Comment