DALAM negara ini, tidak ada satu undang-undang pun yang mengatakan keputusan Mahkamah Sivil boleh mengatasi keputusan Mahkamah Syariah, tapi ada fasal dalam perlembagaan yang mengatakan Mahkamah Sivil tidak ada bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah iaitu Perkara 121 A.
Polis, seperti mana agensi kerajaan yang lain, perlu mematuhi semua keputusan Mahkamah. Jika Mahkamah Tinggi mahupun Mahkamah Syariah mengeluarkan waran tangkap, adalah menjadi bidang kuasa polis untuk melaksanakan waran tersebut kerana ia memang termaktub dibawah Akta Polis.
Tapi bila kedua-dua Mahkamah tersebut mengeluarkan perintah yang bercanggah antara satu sama lain dalam pertikaian yang sama, maka polis perlu menggunakan budi bicara mereka sendiri. Dalam hal perebutan hak jagaan anak antara pasangan berlainan agama yang telah bercerai ini, kalau ikut perintah Mahkamah, dua-dua ibu dan bapa kanak-kanak terbabit, perlu ditangkap dan disumbat masuk dalam penjara.
Satu sebab langgar arahan Mahkamah Tinggi, satu sebab langgar arahan Mahkamah Syariah. Kalau itu berlaku, kemana sudahnya, apakah nasib anak-anak yang terlibat?
Walaupun Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam, tapi tajuk besarnya langgar perintah Mahkamah dan polis boleh juga ambil tindakan.
Jadi, cadangan Ketua Polis Negara supaya anak-anak berkenaan diletak dibawah pusat penjagaan dimana kedua-dua pihak boleh melawat, adalah satu cadangan yang ideal dan tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang.
Tidak ada siapa yang perlu masuk penjara, tidak ada anak yang akan terabai nasibnya, semua pihak menang, semua pihak senang.
Sebab itu penulis tak faham dengan beberapa pihak yang hanya mahu polis melaksanakan undang-undang berdasarkan perintah Mahkamah Sivil, terlupa yang polis juga perlu menghormati perintah Mahkamah Syariah – termasuk seorang Menteri yang suka sangat nak masuk campur dalam semua hal.
Kalau tak faham, buat cara tak faham, jaga kementerian masing-masing saja sudahlah. Cakap pasal jaga kementerian masing-masing, pasukan hoki baru saja kalah semua perlawanan dalam kejohanan Piala Dunia, ini hal besar, patut menteri berkenaan cari jalan bagaimana nak elak masalah dari berulang.
Bukan sibuk masuk campur hal orang lain.

No comments:
Post a Comment